BERITA

50,000 Kontraktor Melayu Gulung Tikar

 

Kota Bharu: Hampir 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 ‘gulung tikar’ apabila tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor terutama disebabkan kenaikan harga bahan binaan dan situasi pandemik Covid-19.

 

Timbalan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, jumlah kontraktor berkenaan tidak memperbaharui lesen sejak 2018 hingga kini.

 

Katanya, pelbagai faktor yang menyumbang masalah berkenaan termasuklah modal tidak mencukupi dan kekurangan projek susulan pandemik Covid-19.

 

“Di Malaysia, seramai 126,000 kontraktor sama ada yang berdaftar dan tidak berdaftar. Daripada jumlah itu, hampir 50,000 kontraktor tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai kekangan terutama kos bahan binaan yang semakin meningkat.

 

“Mereka yang tidak memperbaharui lesen adalah kontraktor gred G1 hingga G7. Keadaan ini lebih terkesan apabila mereka yang tidak mampu memperbaharui lesen namun pada masa sama terpaksa menanggung hutang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kelantan kali ke-45, di sini, hari ini, yang dirasmikan oleh Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan.

 

Mohd Rosdi berkata, kerajaan perlu memikirkan pelan pemulihan bagi membantu kontraktor yang berdepan masalah berkenaan.

 

“Jika dulu, kerajaan ada tabung pemulihan usahawan dan ia boleh membantu mereka yang berpotensi namun kehabisan modal.

 

“Setiap modal yang diperlukan untuk memperbaharui lesen bergantung kepada gred kontraktor masing-masing.

 

“Saya yakin kumpulan kontraktor ini tidak mampu menceburi bidang lain memandangkan perkara utama yang perlu difikirkan adalah faktor modal,” katanya.

 

Mohd Rosdi yang juga Yang Dipertua PKMM Kelantan turut berharap supaya kerajaan sentiasa melakukan pemantauan berhubung kenaikan mendadak kos bahan binaan.

 

“Bahan binaan naik kita boleh terima namun sekiranya ia sentiasa berlaku kenaikan sehingga mencecah 30 peratus, saya beranggapan mungkin pihak tertentu cuba mengambil kesempatan.

 

“Justeru, kerajaan perlu mengadakan perjumpaan dengan pengeluar untuk melihat faktor sebenar berlaku peningkatan harga barang ini,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button