BERITA

Adakah Rayuan Akhir Najib Akan Tetap Didengar Esok?

 

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan membuat percubaan terakhir esok dalam usaha untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

 

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan peguam utama Najib yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir dengan alasan pasukan peguam memerlukan lebih masa untuk mengkaji kes berkenaan dan membuat persiapan.

 

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, pilihan tunggal terakhir yang ada adalah pada prosiding esok sebelum mahkamah mula mendengar rayuan akhir, Hisyam boleh memohon sekali lagi untuk diberikan lebih masa untuk membuat persediaan.

 

“Itu adalah pilihan tunggal dan terakhir yang ada. Sekiranya ia gagal, maka rayuan perlu diteruskan esok,” katanya kepada BH.

 

Peguam itu menambah, Najib tidak boleh mengemukakan semakan terhadap keputusan panel berkenaan.

 

Bagaimanapun, peguam Fahmi Abd Moin berkata Najib masih berpeluang untuk mengemukakan semakan terhadap keputusan panel yang menolak permohonannya bagi menangguhkan rayuan akhir dan memasukkan bukti tambahan dalam rayuan berkenaan.

 

Najib boleh mohon tangguh di hadapan panel hakim lain

 

Menurut bekas timbalan pendakwa raya itu, peguamnya boleh membuat permohonan itu di hadapan panel lain mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

 

Peraturan itu menyebut bahawa tiada apa-apa dalam peruntukan berkenaan dianggap mengehadkan atau menjejaskan kuasa budi bicara mahkamah untuk mendengar sebarang permohonan atau membuat sebarang perintah yang mungkin perlu bagi mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses mahkamah.

 

Jelas Fahmi, kuasa budi bicara itu merujuk kepada panel lain yang mempunyai kuasa sama dengan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan semalam.

 

Panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat semalam dalam keputusannya, berkata mahkamah sudah mengingatkan sebanyak empat kali bahawa ia tidak akan membenarkan prosiding ditangguhkan walaupun berlakunya pertukaran peguam perayu.

 

Panel juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan membabitkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhirnya.

 

Panel membuat keputusan itu selepas mendapati ia gagal untuk melihat bagaimanaperanan Mohd Nazlan dalam Maybank sebelum ini selaku Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC.

 

Sumber: Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button