BERITAPERMOHONAN RAKYAT

Bantuan BKM Fasa 2 Dibayar Berpering Kat Mulai Hari Ini

 

PUTRAJAYA: Sejumlah 8.6 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 mula menerima bayaran secara berperingkat mulai hari ini melibatkan peruntukan berjumlah RM1.74 bilion.

 

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah penerima itu meliputi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang boleh menyemak status pembayaran pada tarikh sama melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

 

Menurut beliau, BKM Fasa 2 ditambah baik sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta sekali gus menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8 bilion.

 

“BKM inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca pandemik dan meringankan beban kos sara hidup.

 

“Setakat ini, 8.6 juta penerima BKM diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Zafrul, BKM merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

 

Sebagai perbandingan, katanya, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480) iaitu peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.

 

Meningkat

 

Selain itu, beliau menjelaskan, jumlah penerima BKM juga meningkat sebanyak 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja.

 

“Peningkatan ini kerana had kelayakan untuk menerima BKM dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.

 

“Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 seperti inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini,” katanya.

 

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, lazimnya, BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya BKM kini memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan dengan 60 peratus daripada rakyat dewasa di Malaysia.

 

Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.

 

Katanya, kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan yakin bahawa dasar kerajaan, baik dari segi bantuan langsung mahupun yang tidak langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Sumber: UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button