BERITA

Batal Keputusan Sejarah SPM 15 Pelajar, KPM Hormati Keputusan LP – Radzi

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menghormati segala keputusan dan prokotol yang telah dipatuhi oleh Lembaga Peperiksaan (LP) berhubung tindakan badan itu membatalkan keputusan subjek Sejarah bagi 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata LP adalah lembaga bebas dan selagi ia mematuhi protokol yang ditetapkan, segala keputusan yang dibuat harus dihormati.

 

“Sekiranya perkara-perkara itu (pembatalan keputusan) telah memenuhi protokol dan peraturan yang ditetapkan LP, maka di pihak KPM, kita menghormati keputusan itu.

 

“LP adalah badan bebas, kalau menteri masuk campur akan cetuskan senario kelam-kabut dalam konteks pelaksanaan peperiksaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) 2021 di Bukit Kiara, hari ini.

 

 

Tular hantaran di Facebook, hari ini, mengenai surat keputusan LP yang mengekalkan status pembatalan keputusan kertas Sejarah 2 SPM 2021 bagi 15 pelajar sebuah sekolah di Putrajaya.

 

Menurut hantaran itu, pembatalan keputusan peperiksaan bagi subjek itu didakwa adalah berikutan pelajar terbabit yang terbawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.

 

Sementara itu, mengenai isu sebuah sekolah di Sungai Besi yang menjemput seorang pempengaruh media sosial sebagai penceramah motivasi, Radzi berkata, KPM akan meneliti isu berkenaan sebelum sebarang ulasan atau tindakan lanjut.

 

“Saya akan melihat apakah konteks jemputan berkenaan, saya belum menerima maklumat mendalam mengenai perkara ini.

 

“KPM tidak dimaklumkan mengenai jemputan itu, biasanya sekolah akan menjemput penceramah untuk berbincang perkara yang ingin disentuh,” katanya.

 

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button