BERITA

BAYI MAUT KEPALA TERSANGKUT DI BUAIAN

Gambar Hiasan

 

SEREMBAN: Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, semalam.

 

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, mangsa, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berusia setahun tiga bulan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas pengasuh membawanya ke klinik tersebut bagi menerima rawatan.

 

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, Nour Rania telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari.

 

“Mangsa ditidurkan dalam buaian kain dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis ‘rocker’ dan selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada jam 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain.

 

“Sejam kemudian, pengasuh kembali semula ke bilik dan mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala telah terkeluar serta tergantung kepada kain buaian manakala badan masih berada di dalam buaian,” katanya.

 

Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan (CPR) namun bayi itu didapati tidak bernafas sebelum dibawa ke klinik.

 

Nanda berkata, mayat Nour Rania dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

 

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(1) Akta Kanak-Kanak 2001.—AlHijrah Online

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button