BERITA

‘Berbalah’ Dengan Speaker Berkait Usul Sulu, Ahli Parlimen Kota Belud Diarah Keluar Dewan

 

Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud-Warisan) digantung dua hari daripada menghadiri persidangan Parlimen selepas diarah keluar Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.

 

Perintah itu dikeluarkan Rashid selepas Isnaraissah meminta Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menjelaskan tindakan menolak usul dikemukakannya berhubung dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dilapor dirampas waris kesultanan Sulu.

 

Isnaraissah berkata, sudah tiga kali usulnya mengenai anak syarikat Petronas itu ditolak.

 

Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen dari Sabah tidak berpuas hati usul itu ditolak dan Isnaraissah digantung dua hari.

 

“Buat kali ketiga speaker menolak usul yang saya bawa di Dewan Rakyat tentang tuntutan Sulu. Sampai tahap apa usul ini boleh dibahaskan di Dewan ini. Ini soal kedaulatan negara, bukan soal remeh-temeh. Sebab Sabah ke bukan negeri lain,” katanya.

 

Isnaraissah juga memohon Ahli Parlimen Sabah menyokongnya supaya usul mengenai tuntutan Sulu dibahaskan.

 

Bagaimanapun, Azhar meminta Isnaraissah tidak mengganggu Dewan dan memutuskan usul itu ditolak.

 

Azhar berkata, Dewan Rakyat sebelum ini telah membenarkan satu sidang khas mengenai aset Petronas di Azerbaijan dibahaskan dan diberi penerangan oleh menteri ekonomi.

 

Beliau juga menjelaskan usul itu subjudis berikutan menerima pandangan undang-undang kerana ada satu atau dua prosiding masih berjalan ketika ini.

 

“Peraturan mesyuarat amat terang dalam hal ini, saya terpaksa pakainya,” katanya.

 

Azhar turut menafikan usul itu mempunyai konflik kepentingan selepas didakwa Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) bahawa beliau tidak layak menentukannya selepas dikaitkan dengan abangnya yang juga Peguam Negara, Idrus Harun.

 

“Saya tak ada kena mengena dengan abang saya (Idrus). Saya tak cakap dengan dia pun. Saya tak pernah cakap soal kerja dengan beliau.

 

“Sekiranya apa-apa berlaku dalam Dewan ini menyentuh beliau, maka saya selalu akan kecualikan diri saya daripada buat keputusan,” katanya.

 

Isnaraissah bagaimanapun tidak berpuas hati dan berkata, walaupun menteri ekonomi sudah memberi penjelasan panjang lebar, aset Petronas tetap dirampas.

 

Beliau juga beberapa kali meminta satu tarikh diberikan untuk bentang usul itu.

 

Isnaraissah, diberi amaran dua kali oleh Rashid selepas beberapa kali mengganggu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan untuk membahas mengenai Akta Perhutanan.

 

Rashid mengenakan arahan itu selepas menggantikan Azhar untuk mengendali sesi Dewan Rakyat pagi tadi selepas Azhar menerangkan usul Isnaraissah itu ditolak.

 

Namun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati tindakan Rashid dan mengganggu perbahasan Takiyuddin di Dewan Rakyat.

 

Rashid kemudian meminta Isnaraissah membuat surat rayuan sekiranya mahu usul itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

 

Segera tetap tarikh

 

Sementara itu, dalam sidang media di Parlimen, Isnaraissah berkata beliau akan mengemukakan usul mengenai tuntutan Sulu terhadap Sabah kali keempat hari ini dan mendesak speaker supaya menetapkan segera tarikh agar isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

 

“Hari ini kita akan hantar semula usul kepada speaker, dan jika tadi (di dalam Dewan) speaker beri bayangan untuk menerima (dibahaskan), saya harap ia akan disegerakan,” katanya.

 

“Kita selesaikan isu tuntutan ini, ‘once for all’. Takkan orang Sabah mahu tunggu 1,000 tahun lagi baru mahu selesai? Yang diserang lanun kami, yang terima kesan secara langsung kami, jadi kita minta kerajaan pusat ambil tindakan tegas, jangan takut,” tegasnya lagi.

 

Sumber: freemalaysiatoday

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button