BERITA

Cacar Monyet: KKM Sudah Ambil Langkah Awal

 

Putrajaya: Langkah awal sudah diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan pengumuman Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan dengan jangkitan monkeypox atau cacar monyet.

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia termasuk mengingatkan semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi semasa jangkitan berkenaan serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

 

Menurutnya, sehingga Sabtu lalu, sejumlah sembilan kes disyaki monkeypox sudah dinotifikasikan kepada pihaknya bagaimanapun semua kes berkenaan disahkan negatif.

 

“Selain itu KKM turut meminta fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta mengenai keperluan untuk notifikasikan kes yang disyaki atau disahkan monkeypox dalam kadar segera bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuk mengenalpasti kontak rapat kes.

 

“KKM turut mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit; mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus monkeypox dengan penambahan dua makmal menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 makmal (lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta).

 

“Mempertingkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara (PMA) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuk Malaysian Airlines Holding Berhad (MAHB) serta bekerjasama dengan beberapa kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan sehingga Sabtu lalu, pihak MySejahtera sudah mengeluarkan amaran kesihatan monkeypox (Health Alert Monkeypox) kepada 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara melaporkan kes jangkitan berkenaan.

 

Khairy menegaskan, individu individu yang mempunyai gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.

 

Mengulas lanjut mengenai jangkitan monkeypox, Khairy berkata virus berkenaan boleh boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping (scab), ataupun cairan daripada lesi terbabit.

 

“Transmisi virus juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti, sama ada dengan cara digigit atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan hasil produk haiwan berkenaan.

 

“Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan lesi kulit ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan dan kes monkeypox boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya lesi pada kulit, sehinggaa 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping (scab) dan pesakit tidak lagi bergejala.

 

“Kes jangkitan monkeypox boleh pulih tanpa sebarang rawatan. Rawatan yang diberikan adalah bagi merawat gejala yang dialami oleh pesakit. Penularan virus monkeypox pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender.

 

“Namun demikian, penyakit ini bukanlah penyakit bagi kumpulan ini secara ekslusif kerana ia boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan,” katanya.

 

Sehingga Jumaat lalu, sebanyak 16,836 kes monkeypox dengan lima kematian dilaporkan di 74 buah negara, jumlah itu meningkat mendadak dalam tempoh dua bulan berbanding yang dilaporkan pada 17 Jun lalu dengan 2,103 kes serta satu kematian di 42 buah negara.

 

Sumber: hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button