BERITA

Cadang OPR Bersasar Bagi B40, M40

 

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bersasar wajar dipertimbangkan kerajaan bagi menyokong perbelanjaan dan kesan kos sara hidup harian dihadapi golongan B40 dan sebahagian M40.

 

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata ia bermaksud bagi isi rumah kategori B40 dan sebahagian M40, kos pinjaman mereka tidak dinaikkan bagi membolehkan mempunyai tunai yang lebih di tangan.

 

Beliau berkata, pengecualian itu dijangka tidak mengurangkan keberkesanan OPR kerana jumlah pinjaman sebahagian besarnya dibuat oleh pertubuhan perniagaan dan mereka yang berpendapatan tinggi.

 

“Kita berhadapan dalam tadbir urus ekonomi yang mencabar kerana krisis ekonomi pada ketika ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

 

 

“Situasi ini menuntut kepada inovasi pelaksanaan instrumen ekonomi dan pada ketika ini golongan berpendapatan rendah amat terkesan dan perlu terus dilindungi,” katanya kepada BH hari ini.

 

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

 

Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai OPR juga meningkat, masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

 

Ia adalah kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus Mei lalu.

 

Mohd Yusof berkata, implikasi kepada peningkatan OPR ialah peminjam bank perlu membayar kos lebih tinggi untuk pinjaman yang tidak berkadaran tetap termasuk pinjaman perumahan.

 

“Ini bermakna pendapatan boleh guna atau tunai di tangan isi rumah sudah berkurangan untuk kegunaan perbelanjaan harian.

 

“Peningkatan harga barangan keperluan asas terutamanya makanan yang berlaku pada ketika ini akan memberi tekanan berganda kepada isi rumah.

 

“Peningkatan harga makanan bukan sahaja memberi impak langsung kepada isi rumah malah memberi impak tak langsung melalui peningkatan harga barangan lain yang disebabkan oleh kesan rantaian,” katanya.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button