BERITA

CUEPACS Mohon Gaji Minimum RM1,800

 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan.

 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia mengambil kira pendapatan semasa penjawat awam yang dilihat tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup semakin meningkat.

 

“Pada masa ini kami kurang selesa dengan dapatan gaji ini, perbelanjaan juga tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam.

 

“Justeru itu situasi ini amat tidak adil untuk pendapatan (penjawat awam) sebegitu rupa,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa yang diadakan sejurus Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS di sini hari ini.

 

Adnan berkata, pihaknya sudah pun membuat cadangan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini perlu ditingkatkan kepada RM1,800.

 

“Walaupun kerajaan meluluskan RM1,500 untuk GLC (syarikat berkaitan kerajaan), tetapi kami mahu RM1,800,” katanya.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lalu mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini. Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan GLC.

 

Sementara itu, Adnan berkata apabila berlakunya perubahan gaji minimum yang baharu, akan berlaku tangga gaji yang rapat antara pekerja baharu dan pekerja lama, maka pihaknya memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat awam.

 

Selain itu, katanya sistem saraan baharu hendaklah dijalankan segera supaya ia lebih komprehensif dan penjawat awam mampu untuk berada dalam keadaan selesa dengan perbelanjaan yang adil.

 

“Sebab kita telah pun 20 tahun menjalankan sistem saraan yang sama iaitu Sistem Saraan Malaysia, jadi sistem saraan ini perlu diganti,” katanya.

 

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button