BERITA

Diskaun Saman Trafik Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

 

KAMPUNG GAJAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus bayaran saman trafik terpilih sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perak.

 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso berkata, bayaran boleh dibuat di kaunter diskaun saman trafik di Litar Dato’ Sagor, di sini bermula hari ini hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

 

Katanya, pihaknya hanya menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi semua saman trafik kecuali saman seperti kemalangan, tidak boleh kompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan saman berstatus waran tangkap.

 

“Pengecualian diskaun turut membabitkan saman berkaitan ubahsuai ekzos, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat merah dan memotong secara berbahaya atau potong barisan selain menggunakan lorong kecemasan serta saman yang dikeluarkan ketika Op Selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagaimanapun katanya, pihaknya mengesan satu gambar di media sosial yang diubah suai dengan maklumat palsu dan mengelirukan, semalam yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

 

“Penjelasan ini bagi memastikan masyarakat tidak terkeliru dengan iklan palsu itu,” katanya.

 

Gambar iklan palsu berkenaan tidak meletakkan lokasi kaunter bayaran dan diskaun kompaun membabitkan semua saman yang dikecualikan.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button