BERITA

Harga Minyak Sawit Mentah Diunjur Turun

 

Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berada pada purata RM5,300 satu tan pada separuh kedua 2022, lebih rendah berbanding tempoh separuh pertama.

 

Ini adalah disebabkan jangkaan bekalan minyak sayuran global yang lebih tinggi, pengeluaran MSM yang kian meningkat pada suku ketiga, serta eksport minyak sawit yang rendah, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Menurut agensi itu, keputusan Indonesia untuk melonggarkan peraturan eksportnya bagi menggalakkan penghantaran dan mengurangkan inventori minyak sawitnya yang tinggi akan memberikan persaingan yang sengit kepada industri minyak sawit di sini.

 

Ini berlaku selepas Malaysia mencatatkan eksport lebih tinggi apabila pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu mengehadkan eksport minyak sawitnya berikutan beberapa langkah yang dilaksanakan seperti larangan eksport selama tiga minggu yang dikenakan mulai 28 April dan obligasi pasaran domestik (DMO) untuk memastikan ketersediaan bekalan domestik.

 

Dalam tempoh enam bulan pertama 2022, MSM diniagakan 55.9 peratus,atau RM2,268.50, lebih tinggi pada RM6,330.00 satu tan secara purata berbanding RM4,061.50 satu tan pada Januari-Jun 2021. Pada Mei 2022, purata harga MSM mencecah rekod tertinggi RM6,873.00 satu tan.

 

“Harga MSM yang lebih tinggi dalam tempoh itu dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak kacang soya global, harga minyak mentah Brent yang mengukuh di pasaran dunia, stok minyak sawit kekal di bawah paras dua juta tan, pengeluaran MSM yang lebih rendah dan permintaan eksport minyak sawit yang tinggi, ” kata Ketua Pengarah Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.

 

Sumber: Sinarharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button