BERITA

Harga RON95, Diesel Lebih RM4 Seliter Tanpa Subsidi

 

KUALA LUMPUR: Rakyat dijangka perlu membayar harga bahan api lebih tinggi, dengan petrol RON95 dan diesel kedua-duanya melebihi RM4 seliter seandainya kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pemberian subsidi secara pukalsubsidi bersasar.

 

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research), Zafri Zulkeffeli, berkata ia adalah anggaran harga sebenar yang perlu dibayar berdasarkan harga minyak mentah Brent yang ketika ini melebihi AS$100 setong.

 

Sebagai contoh, beliau berkata harga purata RON95 adalah kira-kira RM4.77 seliter berdasarkan harga minyak mentah Brent AS$122.80 setong pada bulan lalu.

 

“Ramalan kami untuk harga minyak mentah Brent ialah AS$112.49 setong untuk 2022 dan AS$120.30 setong pada 2023.

 

“Di bawah mekanisme pasaran terapung, RON95 dan diesel masing-masing akan berada pada harga RM4.37 dan RM4.67 setiap liter.

 

“Unjuran ini akan digunakan bagi mengukur kemungkinan senario penghapusan subsidi bahan api di Malaysia,” katanya dalam satu laporan penyelidikan.

 

Kerajaan sebelum ini menyatakan telah memulakan proses untuk menggantikan subsidi pukal petrol dan minyak masak dengan pendekatan lebih bersasar.

 

Langkah itu diambil berikutan perbelanjaan kerajaan meningkat kerana perlu menanggung jumlah subsidi lebih tinggi.

 

Namun, masih belum ada keputusan muktamad mengenai pelaksanaan subsidi bersasar ketika ini.

 

Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula ‘Automatic Pricing Mechanism’, harga runcit RON95 bagi tempoh 16 Jun 2022 hingga 22 Jun 2022 masih kekal pada RM2.05 seliter, manakala harga runcit diesel kekal pada paras RM2.15 seliter.

 

Bagaimanapun, harga RON97 yang diapungkan naik sebanyak 11 sen daripada daripada RM4.72 minggu lalu kepada RM4.83 seliter.

 

Zafri berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) makanan dan bahan api memberi kesan yang ketara kepada rakyat dan ekonomi negara.

 

Sehubungan itu, beliau berkata MIDF Research melihat trajektori pertumbuhan harga makanan dan bahan api akan menjadi penentu utama tekanan inflasi keseluruhan negara, terutama ketika persekitaran semasa global menghadapi meningkat harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan.

 

Katanya, komponen harga makanan menguasai hampir satu pertiga daripada IHP, manakala bahan api membentuk lebih daripada separuh daripada inflasi pengangkutan.

 

“Untuk komponen IHP lain, kami meramalkan kurang berlaku perubahan harga tidak menentu untuk 2023 kerana menganggap pergerakan harga akan mengikuti trend yang sama semasa tempoh prapandemik,” katanya.

 

Seorang lagi penganalisis MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim pula berkata, terdapat tiga senario yang perlu dipertimbangkan mengenai subsidi bahan api kerana tekanan inflasi semasa daripada harga komoditi kini adalah tinggi dan terdapat perbincangan berterusan berkaitan subsidi bahan api.

 

“Kami meramalkan tiga kemungkinan senario yang mungkin berlaku sepanjang tempoh 18 bulan akan datang. Bagi senario pertama, subsidi bahan api dikekalkan tetapi berlaku kenaikan inflasi makanan.

 

“Senario kedua adalah penghapusan secara berperingkat subsidi bahan api bermula pada 1 Julai 2022 dan senario ketiga penghapusan segera subsidi bahan api bermula pada 1 Julai 2022,” katanya.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research menjangkakan kerajaan meraih hasil berkaitan petroleum lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak RM73.7 bilion pada 2022 di tengah-tengah aliran meningkat harga tenaga global ketika ini.

 

Sumber: Bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button