BERITA

Harga Siling Baharu Ayam RM9.40 Sekilo Mulai Jumaat Ini

 

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).

 

Ronald berkata penetapan harga ayam standard dan telur ayam itu membabitkan Semenanjung.

 

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram sebelum harga itu sebelum ini diputuskan untuk diapungkan mulai 1 Julai ini. Bagaimanapun, kerajaan membatalkan rancangan membiarkan harga ayam diapung dan akan mengumumkan harga siling baharu.

 

Keputusan ini juga telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

 

Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima hingga RM2600 tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

 

Dengan pelaksanaan subsidi ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari 2022.

 

Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia adalah fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

 

Namun, Kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button