BERITA

Hormati Proses Penentuan Rasmi Tarikh Hari Raya

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak berautoriti.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan Majlis Raja-Raja pada malam tersebut.

 

Kata beliau, ia tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi ditetapkan.

 

Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, beliau menjelaskan, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022.

 

“Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulama, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

 

“Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau  merujuk isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang sedang tular dalam media sosial yang memetik kononnya bersumberkan dari Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di negeri berkenaan yang dikongsi ramai warganet.

 

Hantaran itu mendakwa umat Islam perlu bersedia kemungkinan besar tarikh 1 Syawal akan jatuh pada 2 Mei depan dan tidak sebagaimana 3 Mei yang tertera di kalendar ketika ini.

 

Mesej tersebut malahan menyatakan kononnya perubahan itu disebabkan perkiraan syarat kenampakan hilal mengikut kaedah imkanur rukyah tahun ini menggunakan format baharu.

 

Hakimah berkata, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

 

Katanya, kaedah itu adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.

 

– UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button