BERITA

Insentif Pengecualian Bayaran Balik PTPTN Diperluas Kepada Semua Had Pendapatan

 

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memperluaskan Insentif Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman perbadanan itu kepada semua kategori peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 tanpa mengira had pendapatan. 

 

Pengerusinya, Apli Yusoff, berkata perkara itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, kelmarin.

 

“PTPTN menyambut baik pengumuman mengenai insentif memberikan semula keistimewaan kepada pelajar yang membuat pinjaman PTPTN dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama untuk ditukarkan pinjaman kepada pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.

 

“Sebelum ini mulai tahun 2019, pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN hanya diberikan kepada peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama bagi kategori kumpulan B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Sehingga 31 disember 2021, seramai 79,472 peminjam telah mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman.

 

Apli berkata, bagi memastikan insentif ini dilaksanakan dengan berkesan, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan peruntukan dan kaedah pelaksanaan akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan.

 

“Pemberian insentif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dan sebagai dorongan untuk menggalakkan pelajar yang merupakan peminjam PTPTN untuk mencapai pendidikan dengan cemerlang.

 

“PTPTN sebagai agensi bawah Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa komited memastikan agar urusan berkenaan pengecualian bayaran balik pinjaman ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan peminjam PTPTN,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button