BERITA

Jagan Benarkan Warga Asing Memandu Kenderaan Persendirian Anda! – JPJ

Pemandu lori warga asing bertindak memecut kenderaan secara tiba-tiba dalam cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) di Pandan Indah, di sini, hari ini

 

Bagaimanapun, cubaan lelaki warga Indonesia berusia 30-an itu gagal apabila lori terbabit dihalang oleh kenderaan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berada di lokasi.

 

Lelaki terbabit antara 36 warga asing yang ditahan dalam operasi itu yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur membabitkan 54 pegawai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

 

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur, Raja Nur Syuhaidah Raja Azmi berkata, operasi itu dilakukan selepas risikan mendapati ada pemandu warga asing dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

 

“Dalam operasi ini, sebanyak 79 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

 

“Ia termasuk tiada lesen memandu iaitu sebanyak 63 notis dan masing-masing lapan notis saman bagi kesalahan tiada lesen memandu kelas perdagangan serta insurans tamat tempoh,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op PEWA di sini, hari ini.

@mykhabar #pesananjpj #jpjmalaysia Minta Warga Malaysia Jangan Sewakan Kenderaan Kepada #wargaasing ♬ original sound – 🇲🇾 MY KHABAR

 

Raja Nur Syuhaidah berkata, pihaknya turut menyita 23 kenderaan membabitkan 18 motosikal, empat lori dan sebuah kereta dalam operasi itu.

 

“Pihak JIM juga melakukan pemeriksaan terhadap 58 warga asing dengan 36 daripada mereka berusia 21 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

 

“Ini termasuk kesalahan tiada dokumen peribadi (tujuh kes); dokumen tamat tempoh (lima kes); salah guna pas (lapan kes) dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (UNHCR) (16 kes),” katanya.

 

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati kebanyakan kenderaan yang dipandu warga asing terbabit adalah milik warga tempatan.

 

“Ada juga kenderaan berkenaan sudah diubah suai menjadi motosikal ‘roda tiga’ bagi kegunaan berniaga makanan serta membawa barang lusuh.

 

“Justeru, saya menasihatkan dan meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing.

 

“Sekiranya kesalahan itu dikesan, pemilik juga boleh dikenakan tindakan dan kenderaan mereka boleh disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengubahsuai bentuk dan peralatan kenderaan seperti memasang ‘side car’ pada kenderaan iaitu satu kesalahan mengikut Seksyen 6(1) akta sama.

 

“Bagi kenderaan yang tiada perlindungan insurans, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 90(1) akta sama,” katanya.

 

Sumber: Hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button