BERITA

Jangan Sewenangnya Bina Struktur Tambahan Rumah – KPKT

 

IPOH: Penghuni rumah, terutama flat dan apartment diminta tidak sewenang-wenangnya membina struktur tambahan pada premis tanpa kebenaran.

 

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata ini kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana premis atau bangunan tambahan yang dibina tanpa kelulusan.

 

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang itu diselaraskan di semua PBT mengikut undang-undang yang ditetapkan.

 

“Kita minta penghuni janganlah sesuka hati mengubah bangunan dan rumah kecuali mereka mendapat kebenaran.

 

“Ini antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh penduduk dan masyarakat. Kita ada peraturan, memang kesalahan di bawah Akta 757k dan penguatkuasaan boleh dibuat oleh PBT,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) di UTC Perak, di sini, petang tadi.

 

Ismail berkata, struktur tambahan pada premis dibimbangi boleh menjejaskan keselamatan.

 

“Jadi apabila penduduk dan pemilik rumah membuat perubahan, ia boleh menjejaskan struktur bangunan dan boleh menimbulkan kemalangan dan sebagainya. Sebab itu kita kawal,” katanya.

 

Media sebelum ini melaporkan, pemilik sebuah flat berdepan tindakan tegas apabila struktur tambahan yang dibina secara haram dirobohkan pihak berkuasa.

 

Memetik laporan itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan binaan haram yang dibina di Blok 4, Flat UTM, AU3/1, Ampang kerana bercanggah dengan Akta 133 dan Akta 757.

 

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan operasi merobohkan struktur binaan haram terbabit sehingga menjadi perbualan netizen.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button