BERITA

JDT Paling Tajam, Kebal

 

Walaupun baru separuh musim, tahun ini menjadi prestasi terbaik buat Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas beberapa pencapaian baharu berjaya dilakar skuad Harimau Selatan.. 

 

Selain berjaya mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), JDT turut muncul pasukan paling tajam dan paling kebal dalam saingan Liga Super setakat ini apabila sudah meledak 37 gol dan hanya bolos enam kali dalam 13 perlawanan.

 

Jumlah jaringan itu adalah yang tertinggi berjaya diledak Harimau Selatan bagi tempoh perlawanan sama dalam semua musim yang diharungi mereka sebelum ini sejak 2013.

 

Malah, skuad yang baru mendapat sentuhan pengendali, Hector Bidoglio itu merekodkan 11 kali kemenangan dan mengumpul 35 mata keseluruhan iaitu jumlah tertinggi berbanding sembilan musim sebelum ini.

 

Setakat ini, juara bertahan Liga Super lapan kali berturut-turut itu sudah meledak 66 gol dalam semua pertandingan musim ini dengan 23 daripadanya dihasilkan mesin gol mereka, Bergson Da Silva.

 

Sebanyak 48 daripada jumlah keseluruhan jaringan JDT dihasilkan bahagian serangan, manakala posisi tengah dan pertahanan masing-masing menyumbang 13 dan tiga gol.

 

Selangor muncul pasukan kedua paling tajam dalam Liga Super setakat ini dengan meledak 26 gol, namun apa yang mengecewakan apabila Gergasi Merah tampak berdepan masalah dibahagian pertahanan selepas bolos 23 kali.

 

Pasukan ketiga paling banyak meledak gol dalam saingan liga utama itu adalah Sabah dengan 24 gol dengan skuad Sang Badak sudah beraksi 14 perlawanan.

 

Rekod paling banyak bolos ketika ini dipegang Sarawak United yang mana 35 kali gawang mereka dibolosi dalam 14 perlawanan yang diharungi.

 

Pasukan tercorot, Penang menjadi pasukan kedua merekodkan jumlah bolos tertinggi apabila gawang mereka bocor sebanyak 28 kali dan Kuala LUmpur (KL) City pula 25 kali bolos.

 

Sama seperti Selangor, naib juara musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) juga dilihat berdepan kelemahan di bahagian pertahanan apabila bolos sebanyak 24 kali musim ini.

 

Sumber: Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button