BERITA

Kami Sudah Siap Sedia – Rexy

 

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ,Rexy Mainaky menegaskan barisan pemain badminton negara sudah siap sepenuhnya mengibarkan cabaran di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

 

Mereka sudah bersedia untuk cuba merealisasikan sasaran meraih sekurang-kurangnya satu emas seperti disasarkan terutama dalam acara beregu.

 

Rexy berkata, biar apapun halangan, semua pemain perlu menghadapinya tidak kira dalam apa situasi.

 

“Sekarang ini semua dalam keadaan terbaik. Tekanan atau tidak itu adalah perkara biasa. Pemain sudah siap.

 

“Saya nampak ada peningkatan daripada corak permainan beregu negara dan mendapati ada penambahbaikkan dalam permainan mereka,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Rexy mengakui wujud kesilapan ketika memberi maklum balas hubung alasan kepenatan yang menjadi punca kepada kekalahan awal beregu kedua negara, Goh Sze Fei-NurIzzuddin Rumsani yang tewas pada pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu.

 

Gandingan ke-12 terbaik dunia itu tumpas kepada pasangan bukan pilihan dari India M R Arjun-Dhruv Kapila, 18-21, 24-22, 21-18 dalam saingan di Stadium Tertutup Singapura.

 

Jumaat lalu, Rexy menyifatkan alasan penat diberikan juara Terbuka Jerman 2022 itu sebagai tidak munasabah kerana percaya mereka mendapat rehat secukupnya selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Malaysia kepada pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 14-21, 20-22, pada 5 Julai lalu.

 

Ia lebih kepada maklum balas yang diterima tidak tepat ketika menjawab soalan media sehingga menimbulkan salah faham dan perdebatan di media sosial.

 

Bagaimanapun, Rexy menegaskan perkara itu sudah diselesaikan antara kedua-dua pihak dan semua permasalahan sudah terjawab.

 

“Saya sudah bertemu dengan mereka dan penat itu bukan datang dari mulut mereka. Cuma salah faham antara jurulatih Tan Bin Shen ketika ketika menyampaikan kepada saya. Itu hanya pandangan jurulatih.

 

“Sekarang ini semua sudah selesai. Saya sudah berbicara dan mengerti antara satu sama lain dan percakapan yang timbul itu cuma salah faham saja,” katanya.

 

Isu kepenatan itu menjadi bualan hangat netizen apabila Izzuddin dalam status yang dimuat naik di Instagramnya meluahkan rasa tidak puas hati kepada media.

 

Malah tanda pagar #guaantimedia yang diletakkan dalam status dimuat naik Izzuddin menjadi trending di laman sosial apabila dikatakan media tidak menyampaikan maklumat tepat.

 

Sumber: harianmetro

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button