BERITA

Kerajaan Mahu Gaji Minimum RM1,500 Dilaksana Secepat Mungkin – Saravanan

 

Kerajaan mencadangkan agar gaji minimum bulanan baru RM1,500 dilaksanakan secepat mungkin, bukannya menjelang akhir tahun, berikutan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan ketika ini.

 

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menambah bahawa kabinet bersetuju secara prinsip untuk menaikkan gaji minimum bulanan kepada RM1,500,

 

“Berdasarkan unjuran dalam Belanjawan 2022, prestasi ekonomi dijangka berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022.

 

“Berhubung perkara ini, kerajaan bercadang melaksanakan gaji minimum baru secepat mungkin dan bukannya pada penghujung tahun ini, memandangkan keadaan ekonomi negara sekarang dilihat semakin baik dan banyak perniagaan yang semakin berkembang dan menunjukkan trend pemulihan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

Saravanan menjawab soalan M Kula Segaran (Pakatan Harapan-Ipoh Barat), Idris Jusoh (BN-Besut), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai pelaksanaan RM1,500 gaji minimum bulanan.

 

Bagaimanapun, Saravanan berkata mereka tidak dapat melaksanakannya segera kerana kerajaan masih memerlukan masa untuk meneliti secara menyeluruh isu ini dari pelbagai aspek.

 

“Kita ada tanggungjawab (sebagai kerajaan), kita perlu kaji semula perkara ini secara menyeluruh, jadi kabinet telah membincangkan perkara ini dari pelbagai aspek sejak tiga minggu lepas,” katanya.

 

Dia menyatakan bahawa kerajaan biasanya akan menaikkan gaji minimum setiap dua tahun selepas semakan, tetapi menurutnya ia dilaksanakan dalam situasi biasa.

 

Jelasnya, situasi ketika ini “luar biasa”, kerana apabila berhadapan dengan pengangguran sebelum ini, ia adalah pasaran majikan. Tetapi kini, ia adalah pasaran pekerja.

 

“Sebagai pekerja, saya ada pilihan sama ada mahu menerima atau tidak gaji yang ditawarkan kerajaan atau meneruskan ekonomi gig yang mampu memberikan banyak pendapatan.

 

“Jadi sekarang kerajaan sedang meneliti perkara itu, termasuk sektor tidak formal,” kata Saravanan.

 

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan majikan mengenai gaji minimum RM1,500 bagi membolehkan ia dilaksanakan secara holistik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button