BERITA

Ketua Polis Johor – jelas untuk menghentikan aktiviti perjudian haram

 

Pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti menyenarai hitam lesen pemilik perniagaan yang menyamar di sebalik perniagaan mereka untuk menjalankan perjudian haram.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kebanyakan modus operandi yang digunakan premis ialah penyamaran di sebalik perniagaan restoran, kedai serbaneka, kedai buku dan kedai alat telekomunikasi.

 

Katanya, ada antara premis itu diserbu polis sehingga empat kali tetapi masih tidak serik.

 

 

 

 

“Dalam operasi bersepadu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini, pemotongan bekalan elektrik di premis yang terbabit dilakukan kerana premis terbabit juga membuat penyambungan elektrik secara haram.

 

“Pemotongan bekalan elektrik ini memberi isyarat jelas untuk menghentikan aktiviti perjudian haram ini sama ada mesin perjudian atau judi dalam talian.

“Kita akan memastikan pemilik disenarai hitam dan permohonan akan datang tidak dibenarkan untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi Bersepadu Pemotongan Kabel Premis di Taman Daya, di sini, hari ini.

 

 

 

 

 

 

Operasi dijalankan di seluruh Johor membabitkan 65 pegawai dan anggota polis dan 42 kakitangan TNB, selaras dengan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

 

Ayob Khan berkata, polis memohon pemotongan bekalan elektrik untuk 392 premis kepada TNB dan 146 premis mendapat kebenaran.

 

Pada Julai, katanya, polis menyerbu 256 lokasi jenis perjudian dan menahan 363 individu serta merampas 182 telefon bimbit, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM49,641.

 

“Ogos lalu, sebanyak 439 serbuan dibuat dan polis menangkap 655 individu, merampas 386 telefon bimbit, tiga komputer, tiga komputer riba dan wang tunai RM178,515,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button