BERITAKERAJAAN

Kira-kira 1,500 Kekosongan Jawatan Di JBPM

 

Marang: Kira-kira 1,500 kekosongan pelbagai jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan diisi secara berperingkat.  

 

Ketua Pengarah JPBM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia bagi menampung kekosongan penjawatan serta anggota dan pegawai susulan persaraan mahupun atas sebab-sebab lain.

 

Beliau berkata, kekosongan berkenaan akan diisi secara berperingkat selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membabitkan pelbagai kategori.

 

“Sebenarnya proses (pengisian jawatan) ini berterusan apabila keputusan proses kenaikan pangkat diumumkan yang mana kita membuat beberapa temu duga di peringkat tertentu.

 

“Selepas ia diisi, kalau ada kekosongan lagi kita akan memohon kepada pihak JPA untuk dibenarkan ia diisi kerana ia membabitkan gaji.

 

“Jadi proses ini berterusan sehingga tahun depan dan kita percaya ia bagi menampung kekosongan kerana kita tidak membuat pengambilan sepanjang tiga tahun semasa pandemik Covid-19 dan pengambilan ini juga untuk mengisi jawatan di balai bomba yang baharu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perbarisan Pentaulihan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini hari ini.

 

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Mohammad Hamdan berkata, proses pengambilan anggota baharu bagi mengisi penjawatan yang ada berterusan kerana dianggarkan antara 200 hingga 300 pegawai dan anggota JPBM bersara setiap tahun.

 

Katanya, pihaknya cuba mengisi sepenuhnya kekosongan yang ada tetapi ia akan mengambil masa dan mengikut proses tertentu yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

 

Ketika ditanya sama ada kekosongan itu akan merencatkan penugasan JBPM, Mohammad Hamdan tidak menolak kemungkinan ia akan menjejaskan pengoperasian sesebuah balai sekiranya terlalu banyak kekosongan jawatan bagi gred KB19 dan KB22.

 

“Kalau 1,500 pelbagai gred (dan) kalau kita tengok sebahagian daripada balai tertentu mungkin terencat kalau ia memerlukan krew untuk operasi.

 

“Ini kerana kebanyakannya anggota di gred KB19 dan KB22 adalah anggota pelaksana untuk melaksanakan tugas operasi.

 

“Yang atas itu mungkin penyeliaan mungkin pengurusan pentadbiran dan penguatkuasaan, latihan, siasatan dan sebagainya,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button