BERITA

KWSP Lulus, Suami Isteri Merasa Beli Kancil

 

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri sepakat membeli sebuah kereta jenis Perodua Kancil menggunakan wang pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 baru-baru ini.

 

Berkongsi cerita, seorang pengguna media sosial, Atikah mendedahkan dia dan suami amat bersyukur, dengan kemudahan yang diberikan seperti ini akhirnya mereka sekeluarga merasa memiliki sebuah kenderaan berbumbung walaupun hanya Kancil.

 

Baginya, itu sudah cukup memberikan makna besar bagi keluarga mereka kerana selama ini hanya bergantung kepada sebuah motosikal lama suaminya untuk kemana-mana sambil membawa dua orang anaknya.

 

“Rezeki anak-anak dapat duit KWSP terus beli kereta.

 

“Saya anak dua baru merasa ada kereta, sebelum ini pergi mana-mana naik motor dengan panas-panas, bila anak nak suus terpaksa duduk tepi jalan buat susu dulu,” katanya.

 

Menerusi video yang dikongsikan Atikah, apa yang lebih memberi kepuasan kepada seorang ibu adalah apabila dia melihat reaksi anak sulungnya yang begitu teruja ketika dihantar ke sekolah dengan menaiki kereta tersebut.

 

“Hari ini bermula lah hantar anak ke sekolah naik kereta, tengok muka anak sulung itu seronok sahaja,” ujarnya.

 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai terharu membaca kisahnya dan mereka turut mengucapkan tahniah kepada keluarga kecil itu kerana akhirnya dengan usaha mampu memiliki kereta sendiri.

 

“Alhamdulillah, saya tumpang gembira dengan kejayaan puan dan keluarga, rezeki dapat memiliki kereta, KWSP pun duit titik peluh kerja keras selama ini, jadi, manfaatkan seperti ini baru nampak hasil berpanjangan,” komen Aliah.

 

“Seronok bila tengok wajah anak kecil itu tersenyum lebar, seronok dia dapat naik kereta, tahniah puan,” tulis Rozlinawi.

 

– KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button