BERITA

Liga Super 18 Pasukan, Liga Perdana Dimansuhkan?

 

Struktur saingan Liga Malaysia (Liga M) dijangka mengalami perubahan besar bermula musim depan.

 

Ia susulan difahamkan saingan Liga Perdana akan dimansuhkan dengan enam pasukan dari divisyen kedua itu bakal membentuk 18 pasukan yang akan bersaing di pentas Liga Super 2023.

 

Perubahan bilangan pasukan ini bakal menambahkan lagi ‘seri’ perlawanan dalam Liga Super selain pasukan yang bertanding akan menerima lebih banyak perlawanan liga dalam semusim.

 

Ketika ini dengan 12 pasukan bersaing, setiap pasukan Liga Super hanya mempunyai 22 perlawanan liga semusim berbanding musim depan yang mana mereka akan beraksi dalam 34 perlawanan.

 

Walaupun dijangka berlaku peningkatan kos buat pasukan bertanding kerana pertambahan jumlah perlawanan, namun perubahan itu dianggap mampu meningkatkan lagi nilai komersial Liga Super.

 

Melihat dari sudut positif, peningkatan nilai komersial liga akan mempengaruhi jumlah tajaan yang bakal diperoleh sama ada untuk Liga Super dan pasukan bertanding.

 

Perubahan itu juga bakal memberi impak kepada prestasi pasukan kebangsaan apabila pemain akan mendapat lebih minit permainan dalam liga.

 

Selain itu, dengan ketiadaan Liga Perdana, bermakna tiada lagi pasukan ‘feeder club’ seperti Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Terengganu FC II (TFC II) dan Selangor 2.

 

Sebaliknya, saingan Liga Perdana dikatakan akan digantikan dengan saingan Liga Simpanan yang bakal menjadi medan persaingan khusus bagi pasukan bawah 23 (B-23) tahun.

 

Pasukan dalam Liga Simpanan itu boleh dianggap sebagai skuad pembangunan kepada semua 18 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2023.

 

Difahamkan juga kelab hanya dibenarkan menyenaraikan tiga pemain lebih umur atau import untuk pasukan mereka yang bersaing dalam Liga Simpanan.

 

Kewujudan Liga Simpanan ini dilihat mampu membuka peluang terbesar untuk pemain B-23 bermain secara kompetitif, sekali gus boleh memberi impak kepada prestasi mereka apabila di panggil menyertai skuad kebangsaan.

 

Spekulasi struktur baharu Liga M itu muncul sejak Mac lalu lagi dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mungkin sudah membuat kajian terperinci mengenai impak terhadap perubahan itu.

 

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kata putus rasmi dibuat oleh MFL dan keputusan akhir serta maklumat lebih terperinci berkaitan struktur baharu Liga M itu dijangka akan diumumkan selepas Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga, esok.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button