BERITA

Masalah Buruh Asing, Peneroka Felda Rugi RM200 Juta Sebulan

 

Masalah buruh asing, peneroka Felda rugi RM200 juta sebulan. Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, kesan Covid-19 bermula pada 2020 dan kekurangan buruh asing menyebabkan sebahagian besar peneroka Felda seluruh negara mengalami kerugian apabila buah tidak dapat dituai, katanya memetik dari Utusan Malaysia.

 

Hampir 80 peratus tenaga kerja di ladang bergantung kepada buruh asing terutama Indonesia dan kekurangan­nya ketika ini cukup memberikan kesan terutama kerugian kira-kira RM200 juta sebulan membabitkan 83,000 peneroka di 317 tanah rancangan seluruh negara.

 

Jika dilihat hasil sawit Felda setahun, ia berkurangan daripada 18.60 metrik tan sehektar pada 2019 kepada 17.60 metrik tan sehektar (2020) dan 17.29 metrik tan sehektar pada tahun lalu.

 

Tambah Sulong lagi, pada tahun ini hasil sawit peneroka Felda dijangka terus mencatatkan penurunan ekoran masalah ketiadaan buruh asing yang belum selesai terutama dari Indonesia yang dibekukan sementara pengambilan.

 

“Sepatutnya pada setiap tahun peneroka Felda boleh dapat lebih 20 tan metrik sehektar setahun,” katanya.

 

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Indonesia tidak kisah jika Malaysia membuat keputusan membatalkan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 April lalu.

 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengumumkan pembekuan sementara kemasukan semua pekerja Malaysia berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat bersama pegawai kementerian luar dan kementerian tenaga kerja negara itu.

 

Keputusan itu dibuat setelah saluran sistem saluran tunggal yang dipersetujui dalam MoU terkesan dengan sistem MOS yang masih membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.

 

Kerugian itu katanya, hanya mengambil kira tiga tan buah tandan segar (BTS) yang membusuk di pokok kerana tidak sempat dituai dalam tempoh dua pusingan sebulan membabitkan seorang peneroka di 317 tanah rancangan Felda.

 

“Itupun (kerugian) kita hanya ambil kira hasil sawit dalam jumlah kecil iaitu tiga tan seorang pada pusingan kedua dan membabitkan 83,000 peneroka yang menghantar hasil kepada Felda,” katanya.

 

Kerja-kerja penuaian buah kelapa sawit dilakukan dua pusingan pada setiap bulan berselang antara 15 hari ke 20 hari setiap pusingan.

 

Sumber: gemilangdaily.com

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button