BERITA

Melaka Belasah Penang

MELAKA: Melaka United (MU) bangkit daripada tersingkir saingan Piala FA apabila membelasah Penang FC 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

 

Malah, anak buah Asri Ninggal tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan apabila seawal minit keempat sudah membolosi gawang pelawat menerusi gol Emmanuel Oti.

 

Gol terbabit berpunca daripada hantaran Adriano Narcizo yang disambut baik Oti yang mudah menolak masuk gol pertama menewaskan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim.

 

Selepas itu permainan terus dikuasai Melaka dengan tuan rumah turut memiliki peluang menambah jaringan namun sepakan percuma Adriano pada minit ke-19 berjaya diselamatkan Hafizul.

 

Seminit selepas itu Penang FC turut memiliki peluang menjaringkan gol menerusi Lucas da Silva namun percubaan kencangnya sedikit melepasi palang gol ketika penjaga gawang Melaka Ahmad Asyraaf Omar sudah bersedia.

 

Barisan pelawat yang hadir ke bumi Hang Tuah dengan kelebihan moral selepas mara ke separuh akhir dengan menewaskan Sri Pahang di suku akhir Piala FA bagaimanapun terus dikejutkan dengan jaringan Adriano.

 

Kali ini Adriano membuktikan dia antara pemain yang perlu diberi perhatian barisan lawan selepas mengutip hantaran Norde dengan melakukan merembat kencang menghadiahkan gol kedua Melaka pada minit ke-36 saingan.

 

Babak kedua menyaksikan barisan Hang Tuah semakin rakus untuk menambah jaringan dengan mengatur corak permainan terbuka menerusi gerakan Andriano, Ifedayo Olusegun, Oti dan Fadhil Idris sambil dibantu Syazwan Andik dan rakan sepasukan.

 

Akhirnya gerakan menarik yang direncanakan membuahkan hasil menerusi jaringan ketiga menerusi Ifedayo pada minit ke-58 selepas menerima hantaran Norde sekali gus menceriakan lebih 1,000 penyokong yang hadir.

 

Norde yang sering menjadi masalah buat benteng pertahanan Harimau Kumbang terus menghukum kealpaan barisan pelawat dengan kali ini dia melakukan hantaran kepada Justin Baas bagi membolehkan pemain import dari Filipina untuk menolak masuk gol keempat pasukannya pada minit ke-60.

 

Bagaimanapun, kesungguhan anak buah Zainal Abidin Hassan terbalas dengan gol sagu hati menerusi sepakan percuma Lucas da Silva pada minit ke-86.

 

Sumber: Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button