BERITA

Mengapa BNM Buat Keputusan Menaikkan OPR

 

KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sekali lagi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini dibuat berdasarkan beberapa faktor yang berlaku dalam ekonomi negara pada masa ini.

 

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata apabila OPR dinaikkan, kos pinjaman meningkat dan perbelanjaan oleh individu serta perniagaan akan berkurangan kerana mereka akan lebih cenderung untuk menyimpan.

 

“Ini akan menyebabkan permintaan kurang daripada penawaran sekali gus mengurangkan kadar inflasi.

 

“OPR dijangka naik 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada Julai dan 2.5 peratus pada September ini, mengambil kira kenaikan kadar inflasi pada 2.8 peratus pada Mei dan juga kenaikan kadar faedah di AS,” katanya kepada BH.

 

 

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat hari ini memutuskan untuk menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

 

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

 

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, walaupun OPR akan dinaikkan ke kadar yang lebih tinggi, ia lebih rendah daripada kadar sebelum pandemik iaitu sekitar 3.00 hingga 3.25 peratus

 

“Oleh itu, ia masih tidak begitu membebankan peminjam terutama golongan B40.

 

“Namun, pihak bank terutamanya perbankan Islam harus mengambil inisiatif di bawah konsep Maqasid Syariah untuk tidak menaikkan kadar keuntungan yang dikenakan kepada pelanggan mereka, walaupun OPR akan dinaikkan.

 

“Ini untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa perbankan Islam bukan ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan yang setinggi mungkin, tetapi sebagai alternatif pembiayaan kepada umat Islam yang tidak akan membebankan mereka terutama dalam suasana ekonomi tidak menentu ini,” katanya.

 

Penganalisis Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berkata, dari perspektif dasar monetari, keputusan BNM itu membabitkan isu untuk mengurus jangkaan tekanan inflasi, mengurus pergerakan modal asing dan mengawal nilai ringgit.

 

Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan OPR perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini, yang dijangkakan akan bertumbuh pada kadar 5.3 hingga 6.3 peratus.

 

“Namun begitu, apa yang merisaukan adalah kesan segera peningkatan OPR ini kepada rakyat, kerana ini akan meningkatkan lagi bebanan hidup mereka dengan peningkatan dalam kos pinjaman. Akhirnya, masalah kos sara hidup yang mereka hadapi pada hari ini akan menjadi semakin parah.

 

“Bantuan tambahan tunai yang diberikan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) nampaknya akan disalurkan kepada pihak bank untuk menampung peningkatan dalam kos pinjaman akibat daripada peningkatan OPR sebanyak 25 mata asas ini.

 

“Begitu juga kepada mereka yang sudah mula ‘mengikat perut’ atau telah melakukan penjimatan dalam perbelanjaan , simpanan tambahan ini terpaksa pula disalurkan kepada pihak bank akibat penambahan kos pinjaman,” katanya sambil menambah industri tertentu seperti automotif dan hartanah dijangka turut akan menerima kesan negatif daripada tindakan terkini daripada BNM.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button