BERITA

Penangguhan Gaji Minimum Tepat, Bantu Pemulihan 46,000 Usahawan Mikro

 

TANJONG KARANG: Penangguhan pelaksanaan gaji minimum pekerja RM1,500 sehingga akhir tahun ini diyakini langkah terbaik untuk membantu memulihkan ekonomi kumpulan usahawan mikro di seluruh negara.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, ketika ini kira-kira 46,000 usahawan mikro perlu melalui proses pemulihan selepas golongan itu terjejas berikutan pandemik COVID-19.

 

“Golongan ini dalam proses untuk pulih. Oleh itu, ia memerlukan masa pelaksanaan dan persediaan (gaji minimum) lebih-lebih lagi baru pulih daripada kesan pandemik COVID-19,” katanya, hari ini.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pelancaran Program Unified Digital Library di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burung, di sini.

 

Dua hari lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, majikan yang terbabit dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberi pengecualian pelaksanaan gaji minimum pekerja sehingga akhir tahun ini.

 

Bagaimanapun, Awang berkata majikan terbabit dalam bidang profesional seperti peguam dan doktor tetap perlu mengikut pelaksanaan itu di mana perlu membayar gaji RM1,500 kepada setiap seorang pekerja.

 

Pada 27 April lalu, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu ke atas majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih, serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.

 

Bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja pula, kuat kuasa gaji minimum RM1,500 adalah bermula 1 Januari 2023.

 

Noh berkata, penangguhan pelaksanaan gaji minimum kepada usahawan mikro itu diputuskan dalam Kabinet.

 

“Pihak kementerian yakin golongan ini mampu membayar gaji minimum apabila keadaan ekonomi mereka kembali stabil.

 

“Bagaimanapun, mereka yang mempunyai kemampuan digalak membayar gaji minimum kepada pekerja,” katanya.

 

– Bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button