BERITA

Pengarah Bukit Aman Disaman Fitnah ‘Pegawai Sendiri’

 

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis Cawangan Khas (SB) memfailkan dua saman fitnah secara berasingan terhadap pengarah kanan Bukit Aman dan bekas diplomat kerana menuduhnya membuat tuntutan palsu.

 

Asisten Superintendan Azwan Jamaldin didakwa membuat beberapa tuntutan palsu berjumlah RM63,704 bagi menyelenggara dan membaiki kenderaan pegawai perhubungan polis Malaysia di Pontianak, Indonesia.

 

Saman itu yang menamakan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din serta bekas konsul Malaysia ke Pontianak, Mohiuddin Ghazali sebagai defendan difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, minggu lalu.

 

Berdasarkan writ saman itu, Azwan mendakwa Mohiuddin secara palsu dan berniat jahat menulis dan menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah mengenainya menerusi e-mel antara 23 Disember 2020 dan 8 Mac 2021.

 

Mohiuddin didakwa menulis e-mel kepada seorang pegawai Wisma Putra pada Ogos 2021 untuk menggesa pasukan petugas menyiasat tuntutan perbelanjaan Azwan.

 

Pasukan petugas itu kemudian mengesahkan Azwan memalsukan tuntutan berkenaan.

 

Beliau turut mendakwa Ramli menulis surat yang didakwa berunsur fitnah pada 23 Mac 2021 berdasarkan dakwaan Mohiuddin dan menghantarnya kepada beberapa pegawai tertinggi polis.

 

Mereka termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Cheong Koon Kock; Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas, Senior Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid; Ketua Polis Negara ketika itu serta kerajaan.

 

Azwan yang menuntut ganti rugi daripada defendan mendakwa reputasinya sebagai anggota polis tercemar teruk dan beliau tidak dinaikkan pangkat disebabkan tuduhan itu.

 

Peguam Azwan, M Manoharan mengesahkan beliau memfailkan saman itu bagi pihak anak guamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu.

 

Katanya, semasa pengurusan kes, mahkamah meminta Ramli memfailkan pembelaannya sebelum 15 Jun ini, manakala pengurusan kes membabitkan Mohiuddin pada 3 Jun nanti.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button