BERITA

Pengeluaran Khas KWSP RM10,000 Lesap Dalam Akaun

 

Petaling Jaya: Seorang lelaki berputih mata apabila pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 lesap sekali mata apabila ditipu sindiket penipuan kewangan.

 

Lelaki berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia membuat pengeluaran itu pada April lalu, dan wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank pada 21 April.

 

“Namun, pada hari sama berlaku tiga transaksi iaitu dua pindahan wang dan satu lagi menggunakan e-walet.

 

“Apabila saya menghubungi bank, pihaknya mengesahkan terdapat pengeluaran dan pembelian berlaku menggunakan wang di dalam akaun milik saya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.

 

Menurutnya, dia sehingga kini hairan bagaimana pihak bank boleh membenarkan transaksi itu berlaku.

 

“Saya tidak mengenali individu yang mengeluarkan wang saya itu, ketika bertanya pihak bank mereka memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa.

 

“Saya juga membuat laporan polis pada 23 April lalu, dan turut diminta merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank,” katanya.

 

Sementara itu, Lee berkata, pihaknya memandang serius kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan.

 

“Persoalannya mengapa tiada tindakan lanjut daripada pihak bank untuk membuat pengesahan pengeluaran wang berkenaan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memerangi penipuan kewangan dan scammer.

 

“Dianggarkan tiga mangsa bagi setiap jam menjadi mangsa penipuan dengan kerugian sekitar RM30,000 bagi setiap seorang,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button