BERITA

Pengeluaran KWSP: Kerajaan Terpaksa Jual Aset Pelaburan Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran tidak menentu terutama krisis berlaku antara Rusia-Ukraine.

 

Penjualan aset pelaburan berkenaan sebagai menampung jangkaan nilai RM63 bilion melibatkan pengeluaran tambahan selepas beberapa pakej pengeluaran caruman seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan antara lain terpaksa menghentikan aktiviti pelaburan dalam negara dalam jangka masa pendek dan sederhana dalam tempoh tiga hingga bulan.

 

 

Ads by Kiosked

Beliau menegaskan, langkah itu akan memberi kesan buruk ke atas pasaran saham dan bon tempatan termasuk kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang meningkat dalam kadar 100 mata asas berbanding suku ketiga 2020, malah meningkatkan kos pinjaman kerajaan pada masa akan datang.

 

“Sekiranya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara sekali, bilangan ahli layak membuat pengeluaran dijangkakan seramai 6.3 juta ahli yang melibatkan pengeluaran tambahan berjumlah lebih RM63 bilion.

 

“Jika pengeluaran tambahan ini dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan imbangan portfolio dengan impaknya yang mungkin lebih daripada nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

 

Pencarum KWSP mempunyai akses bagi sehingga RM71,000 dalam dana persaraan itu melalui tiga program pengeluaran khas iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang telah memberi manfaat kepada lebih 7.3 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.7 juta ahli dengan pengeluaran berjumlah RM101 bilion.

 

Menurut Tengku Zafrul, walaupun inisiatif tersebut meringankan beban ahli yang memerlukannya, namun pengeluaran khas terbabit telah mengakibatkan pengurangan simpanan persaraan yang ketara.

 

“Susulan pengeluaran sebanyak RM101 bilion tersebut, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus di bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kadar dividen KWSP yang diumumkan baru-baru ini sepatutnya lebih tinggi pada 6.7 peratus berbanding 6.1 peratus jika tiada pengeluaran simpanan oleh pencarum, malah dividen tambahan RM5.4 bilion boleh diagih kepada semua ahli dana persaraan.

 

“Jumlah kehilangan RM5.4 bilion ini telah menyebabkan lebih kurang 5.3 juta ahli tidak pernah mengeluarkan simpanan melalui mana-mana skim pengeluaran, terpaksa menerima pulangan simpanan lebih rendah.

 

“Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat sekalian yang juga mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka. Adakah ini adil?” Soalnya.

 

– UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button