BERITA

Pengorbanan Besar Pemain Kacukan Skuad Harimau Malaya

 

KUALA LUMPUR: Ketika pemain berdarah kacukan memilih Malaysia, mungkin ada pandangan sinikal yang beranggapan mereka ini mahu mewakili Malaysia kerana tidak ada peluang untuk bersama negara pada ranking lebih tinggi yang boleh diwakili mereka.

 

Tetapi mereka sebenarnya sudah melakukan pengorbanan yang besar apabila ‘melepaskan’ pasport dan berjuang bersama Malaysia yang berada di lebih dekat di dasar berbanding puncak – melebihi kedudukan ke-150 dunia.

 

Sekalipun berdarah kacukan dan memiliki separuh darah Malaysia namun semangat perjuangan mereka setara dengan anak tempatan yang darahnya tumpah di bumi bertuah ini.

 

Kalau tidak ada jiwa, masakan mereka bermain bermati-matian, mencabar setiap bola yang ada selain sanggup berdepan terjahan pihak lawan – aksi mereka di atas padang membuktikan mereka sememangnya anak Malaysia.

 

Malah, reaksi mereka ketika menjaringkan gol ataupun meraikan jaringan rakan sepasukan memberikan satu tanda kepuasan yang tidak terhingga – semua ini dilakukan untuk Malaysia.

 

Bukan mahu memperkecilkan aksi anak tempatan tetapi sumbangan pemain berdarah campuran untuk membawa Malaysia ke Piala Asia 2023 juga tidak boleh dinafikan kerana kehadiran mereka turut tercatat dalam sejarah bola sepak negara.

 

Kalaulah ada lebih ramai lagi pemain berkualiti sebegini dan sedia mencurahkan segala keringat demi Malaysia diadun dengan anak tempatan yang juga berkualiti, mungkin impian ke Piala Dunia bukan lagi satu misi yang mustahil.

 

Sayangnya, hikayat berbeza ditampilkan oleh ‘Harimau Import’ yang memperkuat skuad kebangsaan bagi kelayakan Piala Asia 2023 iaitu Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh.

 

Apa yang boleh dimaafkan mungkin kepada Sumareh yang memperaga aksi terbaiknya ketika berdepan Bahrain di mana kelicikannya umpama ikan keli berenang dalam bendang acap kali memeningkan pertahanan Bahrain.

 

Persoalannya mengenai konsistensi tetapi jika dia terus konsisten walaupun kurang minit di peringkat kelab, mungkin namanya akan terus lekat untuk Piala Asia 2023 nanti.

 

Tutup buku mengenai Sumareh dan kita beralih pada penyerang ‘kesayangan’ ramai yang namanya sentiasa disorak dan mendapat sambutan gemuruh di Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu de Paula.

 

Sorakan gemuruh daripada penyokong kepada de Paula turut menarik perhatian wartawan Bangladesh yang sempat bertanyakan kepada wartawan dan beberapa rakan lain mengapa de Paula ‘dijulang’ sedemikian rupa.

 

Untuk menjaga air muka de Paula dan maruah skuad kebangsaan, kami memaklumkan de Paula adalah seorang penyerang hebat dan ikon bola sepak negara selain menjadi ‘senjata rahsia’ skuad kebangsaan.

 

Mujurlah de Paula tidak menjaringkan gol kerana kalau tidak, pasti wartawan itu dapat merasai suasana Stadium Nasional Bukit Jalil yang ‘bergoncang’ dengan sorakan pemain ke-12.

 

Cuma apa yang boleh kita buat, ibarat pepatah ‘beggars can’t be choosers’, hanya tiga pemain naturalisasi yang kita ada jadi itu sahajalah sumber yang kita ada buat masa ini kalau mahu digunakan.

 

Dengan apa yang disumbangkan pemain naturalisasi kepada skuad kebangsaan, memang tepat keputusan FAM untuk ‘membekukan’ seketika program naturalisasi kerana ‘sumber’ yang ada ketika ini tidak cukup mengangkat kualiti bola sepak negara.

 

Kalau itulah kualitinya pun, gunakan sahaja pemain tempatan kerana menyaksikan pemain tempatan bergelut tidak sesakit melihat persembahan ala kadar pemain naturalisasi.

 

Sumber: Bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button