BERITA

Pengumuman Kelonggaran SOP Dijangka Libat Pelitup Muka, MySejahtera

 

SEREMBAN: Pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat dijangka berhubung pemakaian pelitup muka, penggunaan imbasan MySejahtera selain ujian pengesanan Covid-19 di lapangan terbang.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sedang berbincang bagi melihat pro dan kontra perkara tersebut sebelum diumumkan kepada rakyat.

 

“Mungkin akan tengok dari segi pelitup muka pula, kementerian akan berbincang dan melihat daripada segi pro dan kontra mengenainya. Kemudian mungkin daripada segi penggunaan mySejahtera, perlu atau tidak untuk mengimbas lagi di setiap tempat kita mahu masuk atau di lapangan terbang. Apabila balik masih perlu atau tidak dilakukan ujian PCR ataupun RTK Antigen.

 

“Inilah perkara-perkara yang akan kita tengok, sama ada ia akan diumumkan pada minggu ini saya tidak pasti tetapi Kementerian Kesihatan sedang berbincang dan bermesyuarat mengenai perkara ini. Ada tiga perkara besar, tapi tunggulah dan kita akan umumkan kemudian,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat remaja remaja kurang upaya (OKU) yang disyaki didera, Bella yang kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini hari ini.

 

Yang turut sama dalam lawatan tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

 

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan kejayaan pengurusan Covid-19 dalam negara yang kini menyaksikan jangkitan semakin terkawal selain penurunan kes kemasukan ke hospital, Kementerian Kesihatan dijangka akan mengumumkan sedikit kelonggaran berkaitan SOP dari semasa ke semasa.

 

Sementara itu, Ismail Sabri menambah, kelonggaran SOP tersebut tentunya menjadi berita baik kepada rakyat namun ada sesetengahnya masih bimbang dengan kelonggaran yang akan diberikan itu.

 

“Sebab itu kita kena seimbang, ada yang bimbang kalau kita terlampau bebas, ada yang takut. Tetapi seperti saya kata, kerajaan tidak berundur ke belakang, kerajaan akan berikan kelonggaran dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

 

 – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button