BERITA

PT3 Mansuh: Dua Isu Besar Perlu Ditangani KPM Dalam Memperkasa PBS

 

KUALA LUMPUR: Terdapat dua isu besar yang harus diberikan perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

 

Menurut Dr Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), salah satunya adalah meningkatkan kebolehpercayaan masyarakat terhadap guru dan tahap integriti mereka dalam melaksanakan PBS.

 

“Isunya ialah, ibu bapa melihat profesionalisme guru itu di tahap mana?

 

“Jika ada guru yang memang baik dan hebat serta mempunyai kaedah kemahiran yang melaksanakan pentaksiran berkesan, ibu bapa akan menerima, sebab mereka menghormati guru-guru itu sebagai mempunyai profesionalisme perguruan yang tinggi.

 

“Salah satu perkara atau agenda besar KPM adalah untuk meningkatkan kepercayaan ibu bapa dan masyarakat kepada profesionalisme perguruan, supaya mereka menghormati apa yang ditafsirkan oleh guru-guru sebagai pentaksiran seorang pakar dan boleh memberikan penilaian yang baik kepada anak-anak mereka,” katanya.

 

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM itu berkata demikian dalam Program Awani Pagi yang membincangkan mengenai pemansuhan PT3.

 

Pemansuhan itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 2 Jun lalu, dengan KPM mengambil pendekatan memperkasakan PBS melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

 

Mengulas lanjut, Anuar berkata, perkara kedua yang perlu diberikan perhatian oleh KPM adalah berkaitan kemahiran guru dalam melaksanakan PBS dengan berkesan.

 

“PBS agak berbeza dengan pentaksiran dalam bentuk peperiksaan, kerana pentaksiran bilik darjah ini memerlukan ketelitian, pemantauan dan sikap prihatin guru-guru semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku.

 

“Guru-guru terpaksa bersedia untuk menilai pelajar, dan dalam masa sama mereka juga perlu mengajar. Jadi, kemahiran melakukan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini mesti disediakan KPM kepada guru.

 

“Dalam masa yang sama, isu bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam bilik darjah juga perlu ditangani dengan segera untuk memperkasa PBS,” jelasnya.

 

Sumber: astroawani

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button