BERITA

PTPTN Tawar RM61,000 Peraduan JomPAY And Win! 2022

 

Bagi menghargai peminjam yang komited membayar balik pinjaman mereka, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Peraduan JomPAY and Win! 2022 dengan tawaran hadiah bernilai RM61,000 untuk 25 pemenang.

 

Program itu diadakan dengan kerjasama Ambank (M) Bhd dan Payments Network Malaysia (PayNet).

 

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata kempen itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman melalui JomPAY.

 

Katanya, peminjam hanya perlu membuat bayaran balik serendah RM100 dalam tempoh kempen itu berlangsung untuk mendapatkan satu cabutan dan penyertaan secara automatik.

 

“Promosi ini berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September tahun ini.

 

“Hadiah keseluruhan adalah sebanyak RM61,000 untuk 25 pemenang bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

 

“Pemenang utama berpeluang memenangi hadiah RM25,000, manakala tempat kedua RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000. Hadiah sagu hati turut disediakan kepada 22 pemenang dengan setiap mereka akan menerima RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, kolaborasi itu juga untuk memastikan peminjam PTPTN dapat membuat bayaran balik dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian serta menggalakkan peminjam membuat bayaran balik.

 

“Kemudahan saluran dalam talian ini selaras dengan Teras Strategik ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasa organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan perkhidmatan kepada pelanggan sentiasa berada di tahap terbaik.

 

“Kerjasama PTPTN dan Ambank bermula sejak 2017 sebagai usaha menarik minat pelanggan melakukan transaksi pembayaran melalui saluran dalam talian JomPAY tanpa sebarang kos.

 

“Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan PTPTN,” katanya.

 

JomPAY adalah perkhidmatan pembayaran bil dalam talian terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada pelanggan melalui mana-mana bank di Malaysia.

 

Peraduan JomPAY and Win! 2022 adalah penganjuran kali ketiga oleh PTPTN bersama Ambank dan PayNet sejak diperkenalkan pada 2020.

 

Maklumat lanjut boleh melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my dan muat turun aplikasi myPTPTN.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button