BERITA

Syarat Dapat Pencen Bekas Tentera Kekal

 

Kementerian Pertahanan mengekalkan peraturan sedia ada pemberian pencen kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun.

 

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Datuk Dzulkarnain Ahmad, berkata ia susulan desakan veteran ATM pada perhimpunan pada 6 Jun lalu yang menuntut pemberian pencen diberikan kepada veteran ATM tidak berpencen.

 

“Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982 menetapkan bagi melayakkan seseorang askar menerima pencen perkhidmatan, ia mestilah mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun.

 

“Majoriti pemberhentian pada tempoh perkhidmatan 12, 15 dan 18 tahun adalah atas permohonan askar itu sendiri, namun ada juga pemberhentian atas dasar kepentingan perkhidmatan (mereka yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan).

 

“Kementerian Pertahanan berpendapat peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan kepentingan perkhidmatan dan kesiapsiagaan ATM sentiasa terpelihara,” katanya pada sidang taklimat bersama pengarang media di sini, hari ini.

 

Berdasarkan rekod pihaknya, seramai 76,424 veteran ATM tidak berpencen di negara ini.

 

Bagaimanapun, Dzulkarnain berkata, bantuan lain sama ada wang tunai secara ‘one-off’ atau ubat-ubatan tetap diterima seperti mereka yang berpencen.

 

“Nak kata mereka kurang terima bantuan sebenarnya sama sahaja, malah orang yang terima pencen rasa ‘dianaktirikan’ sebab JHEA urus semua berkaitan veteran yang tidak berpencen, manakala yang berpencen kena buat sendiri tuntutan (ubat) di Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

 

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 30,000 hingga 40,000 veteran ATM tidak berdaftar dengan JHEV.

 

Daripada jumlah itu, katanya, ada yang hanya berkhidmat 10 tahun, berhenti ketika masih muda, mendapat kerja lain dan bertukar alamat.

 

“Bila semakin tua dan sakit, anak-anak tak tahu pun ayah mereka bekas askar.

 

“Mereka tahu ada persatuan jaga kebajikan dan sebelum berhenti mungkin ada tinggalkan nama dan alamat, cuma bila dah lama ada yang bertukar alamat tetapi tidak kemas kini dengan JHEV.

 

“Kami minta mereka yang tidak berpencen ini datang ke JHEV atau cawangan JHEV di seluruh negara untuk kita kemas kini data dan tentusahkan status veteran supaya bantuan selayaknya dapat diberikan kepada mereka,” katanya.

 

Berdasarkan data terkini, katanya, seramai 105,893 veteran berpencen daripada keseluruhan 182,317 veteran ATM berada dalam rekod JHEV.

 

Daripada jumlah itu, seramai 38,092 veteran berpencen dan 40,578 veteran tidak berpencen berusia 60 tahun ke atas manakala 80 peratus daripada jumlah keseluruhan veteran adalah golongan B40.

 

“Bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, kami menjayakan program kerjaya kedua dan sosioekonomi menerusi kerjasama swasta dan syarikat berkait kerajaan (GLC) bagi terus membantu veteran ATM, selain memperkasa skim bantuan sedia ada termasuk kepada veteran kalangan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button