BERITA

Tablet Samsung Dipilih Buat Program PerantiSiswa, Kata Annuar

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 350,000 tablet jenama Samsung akan mula diagihkan secara percuma kepada pelajar B40 di bawah program PerantiSiswa mulai bulan ini.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, proses perolehan peranti itu yang dibuka semula menerusi tender terbuka selesai pada akhir bulan lalu.

 

“Jawatankuasa pemilihan telah memilih jenama Samsung yang memperolehi tawaran terbuka melibatkan lima pembekal bagi lima zon berbeza, iaitu Sabah dan Sarawak, Utara, Tengah, Timur serta Selatan,” katanya di Dewan Rakyat.

 

Beliau menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS Sibuti) berhubung status pemberian tablet melalui program PerantiSiswa dan jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar B40.

 

Pada 19 Julai lalu, Annuar dilaporkan berkata, kerajaan akan membuka semula permohonan gajet percuma di bawah inisiatif Program PerantiSiswa selama 60 hari mulai 1 Ogos hingga September.

 

Beliau berkata, permohonan itu membabitkan pelajar B40 yang akan memasuki institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.

 

Kerajaan turut bersetuju memperluaskan kelayakan bagi pemohon yang memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan berbanding hanya pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebelum ini.

 

Dalam pada itu, Annuar berkata, kelayakan bagi pemohon turut diperluaskan kepada pelajar program asasi, matrikulasi, semester satu dan dua di sekolah menengah yang dahulu dikenali sebagai Tingkatan 6 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

 

Katanya, pelajar diploma di kolej vokasional juga boleh memohon di bawah program itu.

 

“Permohonan ini dibuka sehingga 30 Sept bagi mereka yang belum buat permohonan.”

 

Beliau berkata, bagi memastikan tiada yang tercicir, proses rayuan dibuka kepada 40% pemohon yang tidak berjaya.

 

Sumber: freemalaysiatoday.com

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button