BERITA

‘Terima Kasih Tunku Ismail’

 

Cheras: “Kerana tergoda dengan tawaran harga murah dan mendapat tajaan orang kenamaan saya bersetuju untuk mengerjakan haji menggunakan visa furada,” kata Yati, 50-an, bukan nama sebenar dari Kuala Lumpur.

 

Wanita itu antara 380 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

 

Yati yang juga seorang kakitangan swasta berkata, dia mengetahui pakej haji furada itu melalui seorang rakan yang turut menjadi mangsa dan menghubungi seorang daripada penganjur melalui aplikasi WhatsApp.

 

Menurutnya, dia pernah bertemu dengan lelaki berkenaan dan memberitahu mendapat pakej istimewa melalui tajaan orang kenamaan yang tidak mahu dikenali kerana ingin menderma dengan membayar kos tambahan sebanyak RM16,000.

 

Katanya, dia mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji (TH) RM16,000 termasuk RM2,500 duit gaji bulanan bagi mengadakan badal haji ahli keluarga.

 

“Saya tertarik dan yakin dengan pakej ini kerana harganya murah selain penganjur menyediakan kursus Haji Perdana pada pertengahan Jun lalu di sebuah hotel di Shah Alam dengan menjemput penceramah dari kalangan orang ternama,” katanya ketika ditemui hari ini.

 

Yati berkata, penganjur turut menghantar surat rasmi memaklumkan visa sudah sedia dan tarikh penerbangan juga ditetapkan antara 28 hingga 30 Jun.

 

Menurutnya, pada 24 Jun penganjur mengeluarkan surat kali ke dua memaklumkan tarikh penerbangan ditangguh kepada 5 Julai jam 4.30 petang.

 

Namun, pada 2.30 petang, 5 Julai lalu, jemaah dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp penerbangan ditangguhkan kepada 6 Julai dan mereka ditempatkan di sebuah hotel secara percuma dengan menyediakan ceramah haji oleh seorang penceramah terkenal bagi meyakinkan peserta.

 

“Mangsa terdiri dari orang kampung, penghuni pondok, golongan profesional, kakitangan kerajaan, swasta dan usahawan yang tergoda dengan pakej murah yang ditawarkan bermula dari RM16,000 sehingga RM50,000.

 

“Saya tertarik dengan pakej ini kerana dapat mengerjakan haji segera memandangkan giliran dengan TH pada usia 99 tahun.

 

“Selepas beberapa kali penerbangan ditangguhkan saya merasakan sudah tertipu dan penganjur juga gagal dihubungi dan lesap bersama visa dan pasport kami,” katanya.

 

Yati menjelaskan, selepas merasa tertipu dia pulang ke rumah kira-kira 12 tengah malam dengan dijemput suami.

 

Namun, katanya, terdapat 80 peratus jemaah masih menaruh harapan kerana penganjur memberi harapan menyediakan penerbangan khas pada 2.30 pagi serta meyakinkan jemaah masih sempat mengerjakan wukuf di Arafah.

 

Sumber: bharian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button