BERITA

‘Terpulang kepada Zamani, duit itu memang untuk dia’ – Aznil Nawawi

 

Kuala Lumpur: “Saya tak ada fikir apa selain nak bantu dia (Zamani) secepat mungkin.”

 

Itu kata pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi ketika ditanya mengenai wang kutipan yang diusahakannya untuk membiayai kos rawatan penyanyi, Zamani yang sudah melebihi RM100,000.

 

Aznil, 59, jelas tidak mahu Zamani terus memaksa diri membuat persembahan bagi mencari wang dengan keadaan fizikalnya yang dilihat semakin membimbangkan ketika ini.

 

“Kalau dia nak cari duit daripada ‘show’ yang dia buat berapa lama baru nak dapat duit untuk tampung kos rawatan itu. Memanglah boleh dapat duit daripada ‘show’ itu tapi berapa banyak nak kena buat.

 

“Ditambah pula dia tengah sakit sekarang, jadi sebab itu saya kena tolong dia. Itu adalah rezeki Zamani, walaupun saya kata dah tutup akaun pada jam 12 malam semalam, tapi agaknya ramai yang ambil kesempatan untuk cari pahala dan membantu penyanyi kesayangan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

 

Menurut Aznil, dia sama sekali tidak akan memaksa atau memberi sebarang tekanan kepada Zamani yang juga penyanyi kumpulan Slam dalam soal pengurusan wang itu.

 

“Dengan wang sebanyak ini saya rasa dia boleh pergi berjumpa pakar dah. Saya pun ada beritahu dia kalau tak sanggup untuk buat pembedahan anggaplah duit ini rezeki awak untuk kelangsungan hidup.

 

“Tapi kalau nak buat pembedahan pun boleh sebab duit dah ada. Jadi saya serahkan bulat-bulat kepada Zamani dan tak ada paksaan apa-apa. Kalau nak buat pembedahan atau tidak itu terpulang kepada dia tapi duit ini memang untuk dia,” katanya.

 

Ditanya bilakah wang itu akan diserahkan kepada Zamani, Aznil berkata, dia masih menunggu respon daripada penyanyi itu dan akan mengaturkan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa perkara lain juga.

 

“Saya tengah tunggu maklumbalas daripada Zamani. Kalau minggu ini saya agak sibuk jadi kalau nak jumpa mungkin minggu depan untuk saya serahkan duit itu kepada dia.

 

“Kalau ikutkan sekarang ini boleh buat pemindahan dalam talian saja. Tapi mungkin saya akan jumpa dia juga untuk berbincang beberapa perkara lagi,” katanya.

 

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Aznil berjaya mengumpul dana melebihi RM100,000 dalam tempoh lebih 24 jam hasil sumbangan orang ramai dan wang itu akan digunakan untuk membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis.

 

Sumber: hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button