BERITA

Tidak Wajib Imbas MySejahtera Bermula 1 Mei – Khairy

 

Beberapa kelonggaran telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media hari ini.

 

Antara yang menarik perhatian adalah imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.

 

Pun begitu, beliau memohon agar orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

 

“Individu dengan status High Risk pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan HSO, tidak dibenarkan masuk ke premis.

 

“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya,” katanya.

 

Tambahnya, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan bagi tujuan pelaporan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan perintah pengawasan serta pemantauan HSO yang diberi secara digital.

 

Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19.

 

“Seperti mana yang disebut oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom, dunia semakin buta kepada penularan COVID-19 disebabkan bilangan ujian dan pelaporan yang semakin rendah.

 

“Sebab itu kita masih lagi mengamalkan trace, report, inform, isolate, seek help dan kita laporkan ujian kendiri melalui MySejahtera.

 

“Jika tidak, maka KKM tidak akan dapat gambaran yang sebenar berkenaan dengan penularan kes-kes disebabkan laporan yang tidak lengkap atau pun yang tidak mencukupi,” ujarnya.

 

Disebabkan itu, katanya imbasan kod MySejahtera tidak lagi diwajibkan tetapi aplikasi itu masih lagi diperlukan dari segi HSO, pelaporan ujian kendiri dan profesional yang akan dimasukkan dalam sistem MySejahtera.

 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button