BERITA

‘Untung Tak Dapat, Wang Pelaburan Pula Lesap’

 

KUANTAN: Seorang jururawat dari Temerloh, kerugian lebih RM20,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham emas, petroleum dan gas dalam talian yang tidak wujud.

 

Wanita berusia 44 tahun itu melihat tawaran pelaburan melalui aplikasi TikTok pada Mei lalu, kononnya menjanjikan keuntungan tinggi yang dibayar kepada pelabur dalam masa singkat.

 

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian, berkata suspek menawarkan pakej pelaburan sebaik sahaja mangsa menghubungi nombor telefon yang tertera dalam iklan terbabit.

 

“Mangsa berminat dan memilih pakej emas iaitu bayaran pelaburan sebanyak RM250, suspek memberi jaminan dalam tempoh lapan hingga 12 jam mangsa akan menerima pulangan lumayan sebanyak RM7,800 hasil pelaburan berkenaan.

 

“Selepas itu, mangsa memberikan maklumat diri seperti mana yang telah diminta oleh suspek bagi memulakan pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Huat Tian berkata, mangsa telah melakukan enam kali transaksi wang berjumlah RM20,130 ke dalam beberapa akaun bank atas nama suspek yang berbeza, bermula 28 Mei sehingga Khamis lalu.

 

Katanya, semua pemindahan wang yang dilakukan itu bagi tujuan pelaburan dan suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM5,620 sebagai komisyen staf pelaburan.

 

Menurutnya, mangsa enggan terus membuat pembayaran yang diminta suspek kerana merasakan dirinya ditipu, kemudian bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam.

 

“Siasatan sedang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara di antara setahun hingga 10 tahun.

 

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang didakwa mampu memberi keuntungan berlipat-ganda dalam masa singkat,” katanya.

 

Beliau berkata, sebaiknya orang ramai membuat semakan terhadap akaun bank atau panggilan telefon jika merasakan curiga sebelum melakukan sebarang pemindahan wang. Semakan juga boleh dibuat melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

 

Sumber: BHarian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button