BERITA

URUS bantu rakyat harungi kesan COVID-19, banjir

 

Penularan wabak COVID-19 telah mengubah kehidupan ramai orang pada skala global. Bagi Malaysia, wabak ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat, malah memberikan impak negatif kepada ekonomi dan industri negara. Ramai individu dan perniagaan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Susulan daripada itu, kerajaan dan industri perbankan telah menawarkan pelbagai inisiatif seperti PEMULIH dan PEMERKASA Plus, yang telah berjaya membantu lebih 2.7 juta peminjam individu dan 95,700 peminjam PKS memperoleh bantuan bayaran balik pinjaman antara 1 Jun 2021 dan 24 Disember 2021.

 

Susulan daripada itu, kerajaan dan industri perbankan telah menawarkan pelbagai inisiatif seperti PEMULIH dan PEMERKASA Plus, yang telah berjaya membantu lebih 2.7 juta peminjam individu dan 95,700 peminjam PKS memperoleh bantuan bayaran balik pinjaman antara 1 Jun 2021 dan 24 Disember 2021.

 

Dalam landskap ekonomi yang mencabar ini, industri perbankan menyedari kepentingan menawarkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan masalah kewangan.

 

Bagi tujuan ini, industri perbankan telah bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memperkenalkan skim baharu, Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).

 

Skim URUS ialah pakej bantuan holistik yang disasarkan untuk golongan pelanggan B50 yang layak bagi meringankan masalah kewangan yang dihadapi akibat pandemik. Bank telah memperuntukkan dalam anggaran RM1 bilion untuk membiayai kos pengurangan dan kos faedah/keuntungan termasuk pengecualian faedah/keuntungan untuk pelanggan B50 yang terjejas ini melalui URUS.

 

Sokongan yang diberikan oleh URUS memberikan pelanggan fleksibiliti untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangan mereka. Di bawah URUS, pelanggan mendapat tawaran perkhidmatan perancangan kewangan dan kaunseling percuma daripada AKPK untuk merangka pelan kewangan peribadi dengan lebih efektif.

 

Pelan kewangan itu menawarkan pengecualian faedah/keuntungan selama tiga bulan, yang bermula pada bulan seterusnya setelah pelanggan menyertai skim. Pelanggan juga boleh mendapat pengecualian faedah/keuntungan selama tiga bulan bersama pengurangan ansuran sehingga 24 bulan secara keseluruhannya. Selain daripada itu, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan peribadi dan kad kredit juga akan mendapat manfaat daripada pengurangan kadar faedah/keuntungan untuk mengurangkan beban kewangan mereka.

 

Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Datuk Seri Abdul Farid Alias berkata, industri perbankan bekerjasama rapat dengan AKPK untuk terus menyediakan bantuan pembayaran balik kepada pelanggan B50 yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan banjir baru-baru ini melalui skim URUS. Skim ini memberi manfaat kepada pelanggan bukan sahaja kerana pengecualian faedah selama tiga bulan tetapi juga ia memperkasakan pelanggan dengan pendidikan pengurusan kewangan dan khidmat nasihat.

 

“Bank-bank juga sedia menolong pelanggan mereka yang tidak layak untuk URUS tetapi memerlukan bantuan pembayaran balik selanjutnya. Para pelanggan digalakkan menghubungi bank mereka untuk membincangkan pakej yang bersesuaian untuk membantu mereka mengatasi tempoh yang sukar sementara mereka memperbaiki kedudukan kewangan mereka,” katanya.

 

Walaupun Malaysia kini berada dalam peringkat pemulihan ekonomi, bank sedar bahawa terdapatnya pelanggan dan perniagaan yang masih menghadapi masalah kewangan. Bagi menampung keperluan individu, tarikh tutup permohonan URUS dilanjutkan dari 31 Januari 2022 hingga 31 Mac 2022.

 

Pelanggan B50 yang layak yang memerlukan bantuan kewangan selanjutnya boleh memohon

 

URUS menerusi bank mereka sebelum 31 Mac 2022. Selain itu, bagi pelanggan B50 yang layak yang telah mendaftar untuk program bantuan khas banjir dari pihak bank, tarikh tutup permohonan URUS telah dilanjutkan kepada 31 Julai 2022, atau selepas tamat tempoh program bantuan banjir berkenaan, yang mana lebih awal.

 

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai URUS boleh dirujuk pada laman web bank-bank dan AKPK.

 

– Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button